S: Apakah definisi serta hukum melaksanakan ibadah korban?
J: Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya 'Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad (bagi mazhab kita; Shafi'e) dan meninggalkannya adalah makruh. Allah S.W.T berfirman;
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. al-Kautsar: ayat 2
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah (amal yang ikhlas yang berdasarkan) takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang (berusaha supaya) baik amalnya”. al-Hajj: ayat 37
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah (amal yang ikhlas yang berdasarkan) takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang (berusaha supaya) baik amalnya”. al-Hajj: ayat 37
S: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
J: Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.
~والله أعلم بالصواب~
S: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.
~والله أعلم بالصواب~
S: Apakah hikmah ibadah korban?
J: Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
- Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
- Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
- Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
- Membudayakan dan menzahirkan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.
S: Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?
J: Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka bolehlah diniatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja.
~والله أعلم بالصواب~
S: Bolehkah berkongsi seekor lembu untuk dibuat korban dan aqiqah sekali ?
J: Jumhur ulama' berpendapat boleh melakukan aqiqah dengan seekor kambing, unta atau lembu, akan tetapi mereka berbeza pendapat, adakah aqiqah mengambil hukum udhiyah (korban), atau sama dengan hukum korban, sehingga aqiqah boleh berkongsi pada seekor lembu atau unta?
Ini adalah masaalah khilafiyah, ulama-ulama mazhab al-Sayfie berpendapat boleh kerana melihat aqiqah adalah sama dengan korban yang boleh berkogsi bahagian sepertimana yang disebut oleh al-Imam an-Nawawi. Manakala ulama-ulama mazhab Hanbali dan Maliki berpendapat tidak boleh, jika seseorang hendak melakukan aqiqah dengan seekor lembu contohnya, ia hanyalah untuk seorang anak sahaja tidak boleh berkongsi bahagian kerana bagi mereka aqiqah tidak sama hukumnya dengan korban dalam bab bolehnya berkongsi bahagian.
Ulama' yang berpendapat tidak boleh berkongsi dalam melaksanakan aqiqah, melihat aqiqah adalah satu penebusan terhadap anak yang dilahirkan, maka seekor binatang yang disembelihkan untuk aqiqah adalah untuk seorang anak sahaja, kerana itu tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya perkongsian dalam melakukan aqiqah.
~والله أعلم بالصواب~
S: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?
J: Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah dari Abu Hurairah;
مَن كَانَ لهُ سِعةً ولَمْ يضحِ فلا يقربنَّ مُصلّانا
“Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” Riwayat Ahmad dan Ibnu Maajah.
~والله أعلم بالصواب~Klik pada ikon di bawah untuk berita
No comments:
Post a Comment