|
Khusyu' bolehlah di ertikan dengan menumpukan sepenuh
perhatian dan tumpuan semasa solat seperti ia
berhadapan dengan Allah. Hati dan fikirannya berada
sepenuhnya di dalam solat tersebut dan tidak lalai
daripada mengingati perkara-perkara lain di luar solat.
Sebenarnya khusyu' dalam Solat adalah sangat-sangat
dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ
ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang
yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam
sembahyangnya”
[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].
|
Firman-Nya lagi:-
حَـٰفِظُواْ عَلَى ٱلصَّلَوَٲتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلۡوُسۡطَىٰ
وَقُومُواْ لِلَّهِ قَـٰنِتِين
|
"Peliharalah
segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang
utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui
solatmu) dengan khusyuk"
[Surah Al-Baqarah : ayat 238]
|
Ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan
dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT,
berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya
solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka
barulah dihitung pula amalan yang lain.
Firman Allah lagi:-
فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ
ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ
سَاهُونَ
|
yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi
orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai
dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat
4-5]
|
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan
solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih,
kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak
ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya
kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis
lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu
mengingati mati dalam sembahyang". serta
"Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini
sembahyang perpisahan". Yang dikatakan khusyuk
itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan
sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah
diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang
mengerjakan sembahyang:
|
Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal
dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal
tanpa syubhah.
|
|
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan
kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta
solat tersebut merupakan solat terakhir dan
perlulah dijadikan yang terbaik.
|
|
Mendirikan sembahyang di awal waktu atau
pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa
hampir luput.
|
|
Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha
untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat
termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama
sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum).
Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi
banyak makna yang halus yang patut dimengertikan
oleh orang yang melaksanakannya.
|
|
Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib.
Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih),
menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang
itu.
|
|
Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap
Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan
Allah.
|
|
Berharap serta yakin (Optimis) Allah
menerima solat dan amal kita.
|
|
Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat
iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang
boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan
solat.
|
|
Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan
Allah dalam solat.
|
|
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak
gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
|
|
Mendirikan sembahyang secara berjemaah.
|
|
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti
tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada
tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
|
|
Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun
mendirikan sembahyang bersendirian ataupun
sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
|
|
Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada
gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan
lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang
kekhusyukan ketika berjemaah. |
|
|
Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah
kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh
sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan
memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk
di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar
sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak
khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di
dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa
orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira
sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk
mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat
pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang
tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan
perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat
itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik)
seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w.
boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang
mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa.
Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu
bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada
penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh
apa sahaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul
serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti
firman Allah yang bermaksud:
وَٱسۡتَعِينُواْ
بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ
ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّہُم مُّلَـٰقُواْ
رَبِّہِمۡ وَأَنَّهُمۡ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ
|
"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu.
Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni)
orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan
menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali
kepadaNya"
[Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
|
|